Friday, December 12, 2014

269,000 tan sampah di lautan seluruh dunia

 

WASHINGTON – Beberapa penyelidik di sini menganggarkan kira-kira 269,000 tan sampah plastik dibuang ke dalam laut di seluruh dunia.
Berdasarkan data yang dikumpul daripada ekspedisi membabitkan 24 buah kapal dalam tempoh lebih enam tahun lalu, kebanyakan sampah berkenaan terdiri daripada beg plastik, alat mainan, botol, puting, payung, penutup botol, kasut but, baldi dan peralatan menangkap ikan.
“Pembuangan sampah plastik lebih banyak berlaku berbanding yang dianggarkan. Bayangkan, kesemua sampah yang dibuang itu berasaskan plastik.
“Semua itu menjadikan seolah-olah lautan kini menjadi seperti sebuah pasar raya yang terapung,” kata Pengarah Penyelidik Institut 5 Gyres yang berpusat di Los Angeles, Marcus Eriksen.
Sebelum ini, beberapa pakar alam sekitar telah mengeluarkan amaran bahawa pencemaran ekosistem marin boleh membunuh burung laut, mamalia marin dan hidupan lain.
Penemuan kajian mendapati barangan plastik seperti pukat yang dibuang telah membunuh ikan lumba-lumba, penyu dan haiwan lain, malah cebisan plastik turut ditemui di dalam kerongkong serta saluran penghadaman haiwan marin.
Kajian tersebut juga menyatakan kebanyakan objek sampah besar sering terapung di lima gir (kawasan aliran air laut) subtropika dunia iaitu di Lautan Pasifik Selatan dan Pasifik Utara, Lautan Atlantik Selatan dan Atlantik Utara serta Lautan Hindi.
 
P/S - Marilah kita bersama-sama menjaga alam sekitar, janganlah kita menjadi perosak kepada alam sekitar kita. Semuanya untuk kebaikkan anak cucu kita sendiri di masa hadapan. Cheers.
 


No comments:

Post a Comment