Tuesday, February 10, 2015

19 Maut Dalam Rusuhan Bola Sepak di Mesir

KAHERAH – Kerajaan Mesir menggantung semua perlawanan bola sepak utama selepas sejumlah 19 orang terbunuh dalam satu insiden rempuhan semasa beribu-ribu peminat menyerbu masuk ke Stadium Kaherah di sini untuk menyaksikan perlawanan antara kelab Zamalek dan Enbi.
Menurut beberapa saksi dan laporan perubatan, kebanyakan mangsa mati akibat dipijak, manakala sebahagian mereka mengalami patah leher.

“Sekurang-kurangnya 25 yang lain cedera,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Perlawanan tersebut bagaimanapun tetap diteruskan.
“Insiden tersebut mendorong kerajaan untuk menangguhkan Liga Perdana Mesir,” kata pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Perlawanan antara kelab Zamalek dan Enbi itu dibuka kepada orang ramai, tidak seperti kebanyakan perlawanan antara kelab bola sepak Mesir sejak rusuhan di stadium di Port Said pada 2012 yang menyebabkan 70 orang maut dalam bencana sukan terburuk di negara itu.
Kementerian Dalam Negeri mengehadkan bilangan penonton kepada 10,000 orang, manakala tiket perlawanan tersebut habis dijual dalam masa yang singkat kelmarin.
Beribu-ribu peminat tanpa tiket memanjat dinding stadium sebelum polis menyuraikan mereka, menurut kementerian itu.
“Penyokong-penyokong Zamalek membaling mercun terhadap polis yang menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka,” kata polis dan saksi.
“Sebuah kereta polis terbakar dan mereka (anggota polis) menembak menggunakan peluru penabur,” kata seorang saksi kepada agensi berita AFP.
Seorang saksi lain, Mostafa Ibrahim berkata, polis menembak gas pemedih mata ke arah sejumlah besar penonton di kawasan yang sempit.
“Orang ramai terpijak satu sama lain ketika cuba melarikan diri,” katanya.

Source - Kosmo

No comments:

Post a Comment